Thursday, September 24, 2009

PERKAHWINAN MASYARAKAT MURUT TAGAL DAHULU


Secara umumnya sistem perkahwinan Murut Tagal adalah unik dan tersendiri tetapi prosesnya agak kompleks dan rumit. Perkahwinan antara suku Tagal adalah digalakkan untuk membina jalinan keluarga yang besar dan mengembangkan suku Tagal. Mereka tidak menggalakkan perkahwinan dengan bangsa lain atau orang luar (vokun atau oko). Anak-anak digalakkan berkahwin dengan bangsa sendiri (pahaka). Ini membolehkan purut atau berian berada dalam lingkungan suku Tagal. Perkahwinan suku Tagal agak unik kerana ia menjadi tanggungjawab apabila salah seorang adik beradiknya yang berkahwin meninggal dunia, mereka boleh mengambil janda tersebut menjadi isterinya. Sekiranya si mati belum habis menjelaskan berian si penganti haruslah menjelaskan berian tersebut. Upacara menjelaskan berian disebut panalaan ra mato. Nantunang atau timumang adalah perlu sebelim gadis dan teruna Murut Tagal menuju ke alam rumahtangga. Pada hari pertunangan pihak lelaki membawa bungkas dan tapi ke rumah pihak perempuan untuk membincangkan hal perkahwinan. Setelah bersetuju, keluarga pihak perempuan akan memberikan pupulut iaitu senarai barangan keperluan perkahwinan.


Hantaran atau mas kahwin perkahwinan Murut Tagal memerlukan perbelanjaan yang besar dengan berian seperti tawak (gong), tajau, pakaian, kain, manik, barang kemas, generator, barangan keperluan seperti barang dapur, parang, sumpit, duit, makanan dan minuman seperti tapai dan beras. Mas kahwin atau hantaran ini boleh dilakukan dalam dua cara iaitu pertama, cara akilimpuhu iaitu pihak lelaki boleh membawa semua barangan yang di minta pada hari perkahwinan dan cara kedua ialah cara berian iaitu sekiranya pihak lelaki tidak cukup pupulut (barangan mas kahwin), pihak perempuan boleh menangguhkan berian secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat sehingga ke satu tarikh akhir disebut tinauh walaupun sudah mempunyai anak atau cucu. Sekiranya si lelaki sudah meninggal dunia dan pupulut belum dijelaskan dia masih dianggap berhutang kepada keluarga si perempuan. Sekiranya dia mempunyai anak perempuan dan telah berkahwin maka segala pupulut hendaklah diserahkan kepada mentuanya sebagai menjelaskan hutang yang tertunggak. Pupulut juga mesti dibuat dalam penuh istiadat.


Orang-orang Tagal dikatakan suka berpesta disertai dengan cara adat seperti apasawang (majlis berian pulut). Ia biasanya dijalankan dalam masa lima hari empat malam. Apasawang juga diadakan sempena kelahiran anak pertama. Jamuan perkahwinan disertai dengan tapai, tamba pait (jeruk ikan), tamba ulak (jeruk daging). Pesta ini akan berlarutan sehingga larut malam atau ke pagi. Upacara minum tapai adalah wajib, mereka akan bergilir-gilir menyedut tapai menggunakan buluh kecil sambil diiringi dengan tarian lansaran dan ahilalangkut (berbalas pantun)