Wednesday, August 19, 2009

Adat Perkahwinan kaum Murut di Sabah

Adat istiadat majlis perkahwinan orang Murut lazimnya akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Kelazimannya upacara perkahwinan dilangsungkan selama lima hari berturut-turut. Tiga hari yang pertama dijalankan di rumah pengantin perempuan manakala hari selebihnya dilangsungkan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan akan memakai pakaian asli gadis Murut dan berhias cantik pada hari tersebut. Sekumpulan gadis yang dikenali sebagai tambuloi dipertanggungjawabkan untuk menghias pengantin perempuan. Setelah bersiap, pengantin perempuan duduk di dalam sebuah bilik khas yang ditabiri beberapa helai kain dari jenis yang mahal. Seterusnya, ibu bapa pengantin lelaki akan masuk untuk membawa menantu mereka keluar. Tetapi sebelum itu, mereka perlu membayar harga kain yang menabiri pintu bilik tersebut dengan nilai yang telah dibuat dengan ibu bapa pengantin perempuan dahulu. Setelah selesai, pengantin perempuan dibawa keluar dan dipersilakan menjamah seberapa banyak tapai yang disukainya. Kemudian pengantin perempuan dibawa keluar dan rumahnya untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki. Ketika itu pukulan 'egal' iaitu pukulan gong besar dan gong kecil akan didendangkan. Pukulan istimewa ini dipalu untuk memberi semangat selamat jalan kepada pengantin perempuan. Pada masa inilah berlaku tangis-tangisan di pihak pengantin perempuan kerana sedih dengan perpisahan itu. Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dijauhi ketika rombongan pengantin berangkat ke rumah pengantin lelaki.
Menurut Johan Aziz (1980: 36-38) Mangalang Ngajat Tarian ini popular di kalangan suku kaum Murut dan berasal dari kawasan Pensiangan. Biasanya ditarikan dalam ruangan rumah panjang oleh seorang penari lelaki, sementara penari perempuan tidak terhad bilangannya asalkan berpasangan. Tarian ini merupakan satu tradisi suku kaum Murut Pensiangan, terutama sekali apabila menyambut kepulangan seorang pahlawan dari berperang dan juga ditarikan dimusim menghantar berian perkahwinan. Dalam satu upacara kaum lelaki menarik tarian ini dengain memakai sepulu sebagai perhiasan di kepala, baju yang biasanya berwarna hitam disebut sampoi dan memakai cawat yang diperbuat daripada kain putih, merah dan hitam, serta memegang sebilah pailang. Pakaian penari perempuan di bahagian kepala disebut ‘salupa’ diperbuat daripada kain berwarna hitam yang diberi nama sampoi, manakala kain tepi pula disebut pinangkolog. Tarian ini serupa dengan tarian suku kaum Murut Kalimantan Timor Indonesia. Biasanya ditarikan dengan iringan pukulan lima biji gong.


















2 comments:

  1. SEMUANYA MENARIK PERHATIAN! TETAPI APA YANG DI BUAT SUKU MURUT BERAGAMA KRISTIAN ADA KAH IKUT CARA ISTIYADATNYA SEPERTI BIASA
    ATAU MENUKAR KERANA ALASAN AGAMA MASING-MASING ? INGIN TAHU

    ReplyDelete